SELAMAT DATANG

Semuga blog ini dapat memberi manafaat bersama demi kelansungan kuasa yang menjamin agama Islam terus menjadi agama resmi negara, bangsa Melayu masih mempunyai tanah airnya sendiri dan yang teramat penting sekali masa depan yang lebih gemilang untuk anak cucu kita. Kerana tugas sebenar kita hari ini adalah menyambung perjuangan mereka terdahulu yang berjuang untuk kita hari ini.

Sabtu, 23 Mac 2013

SEBAGAI BANGSA MELAYU DAN BERAGMA ISLAM APA YANG PERLU KITA LAKUKAN



Firman Allah dalam surah An Nisaa ayat 94:

Bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi Salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman", (lalu kamu membunuhnya) dengan maksud mencari hartabenda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap Kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan."

Nyata lagi jelas, dari ayat yang kita baca tadi. Allah memerintahkan kita agar berlaku teliti dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan orang mukmin. Janganlah kita mengutamakan keuntungan harta benda dunia dan melupakan pembalasan dari Allah sehingga sanggup menuduh seorang yang memberi salam atau mengucap kalimah "lailaha' illallah" sebagai bukan mukmin.

Janganlah kerana inginkan jawatan atau kuasa kita sanggup melanggar perintah Allah dan melupakan pembalasan Allah di akhirat kelak. Mereka mengucap syahadat, mereka juga solat, mereka berpuasa, mereka menghulurkan zakat dan mereka juga menunaikan fardu haji. 

Oleh itu berlaku telitilah:

Agar kita tidak menyalahi perintah Rasullullah. Supaya kita tidak menyingkirkan pemerintah yang masih bersolat, supaya kita tidak memecah-belahkan kesatuan umat Islam, supaya kita tidak mengangkat seorang khalifah(ketua) tandingan dan supaya kita tidak dilemparkan ke dalam neraka.

Agar kita sentiasa taat kepada perintah Allah. Untuk mendamaikan orang-orang Mukmin yang bertelagah dan untuk memerangi pihak yang membuat aniaya. 

Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 153

Bermaksud:

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

Lakukan solat dan pohonlah hidayah dari Allah supaya kita dapat mencari kebenaran: 

Sekiranya kita memang dipihak yang benar maka teruskanlah tanggungjawab kita.

Sebaliknya jika kita di pihak yang salah, maka cepat-cepatlah kita kembali ke jalan yang benar dan pohon ampunlah di atas segala kesalahan yang telah kita lakukan.

Jika perlu lakukan solat hajat atau Istikarah. Namun apa juga yang kita hendak lakukan, marilah terlebih dahulu kita perbetulkan niat kita seperti yang tercatit dalam hadith Rasullullah SAW:

Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya setiap amal tergantung kepada niat. Dan pahala bagi setiap orang yang beramal diberikan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Siapa yang hijrah dengan niat kerana hendak memperoleh keredhaan Allah dan RasulNya, maka pahalanya ada di sisi Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrah dengan niat hendak memperoleh harta kekayaan (kebanggaan duniawi) atau dengan niat hendak mengahwini seorang perempuan yang dicintainya, maka pahala hijrahnya sesuai dengan niatnya pula. (Sahih Muslim 1861)

PERBETULKAN NIAT 

Secara kesimpulan hadis di atas mengajar kita bahawa sekiranya kita berniat dengan niat kedunian maka kedunian yang bakal kita dapat. Tetapi sekiranya kita berniat untuk mendapatkan keredhaan Allah kita akan dapat kedua-duanya sekali. 

Sebagai contoh sekiranya kita pergi ke pejabat dengan niat untuk mencari rezeki maka itu sajalah yang kita dapat. Tetapi sekiranya kita ke pejabat dengan niat melakukannya kerana Allah, kita akan dapat pahala di akhirat di samping rezeki yang kita cari.

Oleh itu marilah kita perbetulkan niat perjuangan, kita dalam UMNO adalah kerana Allah dan kerana Islam. Marilah sama-sama kita berniat untuk menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah yang mungkar. Marilah kita berniat untuk mendamaikan sesama Islam iaitu sesama orang Melayu dan marilah kita berniat untuk menyampaikan kalimah Allah pada semua umat manusia. InshAllah kita melakukan demikian, kita akan dapat kebajikan hidup di dunia dan kebajikan hidup di akhirat dan Allah akan redha dengan kita.

AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR

Marilah kita bersatu pada mengerjakan yang maaruf dan meninggalkan yang mungkar. Kita perbaiki diri kita dan perbetulkan segala kepincangan yang ada dalam UMNO sesuai dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104:

Bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

MENDAMAIKAN SESAMA ISLAM    

Wahai saudaraku, marilah kita renung firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 105:

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang berat." 

Ingatlah selama 54 tahun kita bersatu padu di mana kita telah dapat bermacam-macam nikmat dari Allah. Oleh itu janganlah kita bercerai-berai kerana sekiranya kita bercerai-berai bukan sahaja kita akan menanggung padah, malah anak cucu kita akan turut menanggungnya juga. Janganlah kita korban nasib dan masa depan mereka demi nasib dan masa depan seorang individu yang kita sokong hari ini. Individu datang dan pergi, perjuangan demi "survival" bangsa dan agama mesti diutamakan.

MENYAMPAIKAN KALIMAH ALLAH 

Sebaliknya marilah kita seru mereka dengan kalimah Allah. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 138:

"(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa."

Sedarlah wahai saudaraku, mereka (iaitu pengikut-pengikut PAS) bukanlah berniat serong terhadap kita. Cuma pemimpin-pemimpin PAS telah menipu mereka dan memesongkan mereka di atas nama Islam sejak lebih 54 tahun dulu. Mereka sebenarnya mahukan Islam dan mahukan syurga. 

Semoga dengan kalimah Allah akan terbuka hati mereka menjadi mukmin yang bertakwa dan mereka berjihad bersama-sama kita memperjuangkan Islam di Malaysia dan di seluruh dunia bersama UMNO. Dalam Surah Al Baqarah ayat 269 Allah berfirman lagi:

"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pangajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."  

Ingatlah barang siapa yang Allah kurniakan kefahaman tentang Al-Quran dan sunnah, maka merekalah yang akan dapat kurniaan yang banyak. Marilah kita merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menyelesaikan segala perselisihan antara kita.